Search

“Semua Lelaki Akan ‘Dapat’..,” Doktor Terangkan Apa Itu Masalah ”Prostat Bengkak”

Bila cakap saja tentang penyakit, salah satunya yang terdengar ‘ngeri’ di telinga kita tak lain tak bukan adalah kanser.


Maka ramailah yang ‘berpantang’ itu dan ini untuk mengelak terkena kanser, malah ada juga yang menyebarkan berita tidak benar atau mitos berkait penyakit berkenaan.


Kerana terlalu tertumpu kepada kanser sebagai ‘simbolik’ penyakit berbahaya, masih ramai yang kurang kesedaran akan penyakit yang sudah pasti dialami, hanya tunggu masa sahaja.


Penyakit yang dimaksudkan adalah benign prostatic hyperplasia (BPH) atau lebih dikenali sebagai masalah prostat bengkak. Seperti mana keadaan menopause bakal dialami setiap wanita, lelaki yang semakin meningkat usia pula akan mengalami BPH.


Untuk memberi pendedahan kepada orang awam khususnya kaum lelaki di luar sana, pakar urologi dari Hospital Pantai Kuala Lumpur, Dr Ambikai Balan melalui satu sesi temu bual bersama SK tampil memberi penjelasan.


Apa itu BPH


Masalah kelenjar prostat bengkak atau BPH adalah satu keadaan yang berlaku kepada lelaki apabila kelenjar prostat semakin membesar. Prostat mengelilingi saluran urethra (laluan air kencing dan air mani) dan terletak di bawah pundi kencing. Prostat berjisim 20 hingga 30 gram dan boleh membesar hingga 100gram atau lebih.


Apabila seseorang lelaki makin meningkat usia, bahagian prostat akan menjadi semakin sempit. Keadaan ini akan berlaku kepada semua lelaki dewasa, umumnya pada usia 50 tahun ke atas. Usia penghidap BPH adalah bergantung kepada hormon testosteron individu.



Kelenjar prostat yang membesar ini akan menyempitkan saluran kencing pesakit yang pastinya memberi kesan kepada kualiti hidup seseorang. Menurut Dr Balan, lelaki yang kurang aktif seperti mereka yang duduk di pejabat, sering menahan dari buang air kecil atau kerap buang air kecil cenderung mempunyai risiko BPH yang lebih tinggi.


BPH vs. Kanser prostat


BPH adalah keadaan di mana setiap lelaki pasti akan mengalaminya, berbeza pula dengan kanser. BPH terjadi di dalam kelenjar prostat, manakala kanser berlaku di bahagian luar namun boleh merebak hingga ke bahagian dalam.


Jelas Dr Balan, apabila terdapat sesuatu yang menyumbat saluran kencing, pesakit tidak akan disyaki sebagai kanser terlebih dahulu. Beberapa ujian termasuk ujian darah akan dilakukan untuk memastikan masalah tersebut bukan dari sel kanser.


Sekiranya dikenalpasti bahawa pesakit tidak menghidap kanser, pesakit akan didiagnos sebagai BPH dan mengikuti rawatan sewajarnya.



Simptom awal BPH

Simptom BPH dapat dikenalpasti dari awal melalui pemerhatian kendiri, tanpa perlu melakukan sebarang ujian. Antara simptom awal BPH termasuk:

  • Kencing tidak lancar

  • Perlu meneran ketika membuang air kecil

  • Kencing tersekat-sekat semasa proses membuang air kecil

  • Tidak berupaya menahan dari buang air kecil

Pun begitu, simptom awal ini boleh jadi berbeza bagi setiap pesakit disebabkan spektrum BPH itu sendiri terlalu besar, termasuk dari ruang lingkup BPH hingga lower urinary tract symptoms (LUTS).


Sekiranya anda tergolong dalam golongan remaja atau lelaki dewasa berumur kurang 50 tahun dan menghadapi simptom-simptom di atas, ujian terperinci akan dilakukan untuk mengenalpasti masalah sebenar.


“Berdasarkan praktis saya, kalau pesakit di bawah umur 50 tahun mengadu ada masalah kencing tidak lancar atau masalah lain, ujian secara terperinci akan dilakukan berbanding mereka yang berusia 50 tahun ke atas.



“Bagi pesakit berusia 50 tahun ke atas, diagnosis pertama yang akan diberi adalah BPH, selepas itu kita akan tengok apa rawatan yang akan dilakukan.


“Kalau pesakit di bawah umur 50 tahun, masalah itu mungkin bukan BPH walaupun pesakit boleh dapat BPH.


“Pengalaman saya, saya tak pernah terima pesakit yang menghidap BPH di bawah umur 45 tahun,” ujar Dr Balan ketika ditemu bual SK.


Sebabkan lelaki kurang subur, alami masalah buah pinggang


Apabila bercakap tentang penyakit yang melibatkan organ kelamin, perkara pertama yang terlintas difikiran semestinya berkait masalah kesuburan. Begitu juga dengan keadaan kelenjar prostat bengkak ini.


BPH memberi implikasi terhadap kesuburan lelaki menyebabkan kekurangan atau kualiti sperma kurang baik. Menurut Dr Balan, kajian menunjukkan bahwa lelaki tidak begitu yakin apabila kencing tidak lawas, menjadikan hubungan seksual kurang baik.


“Tapi bila kelenjar prostat mereka dirawat dengan pengambilan ubat-ubatan, mereka akan rasa yakin dengan diri mereka bila boleh buang air kecil dengan normal kembali, walaupun ubat yang diberi adalah untuk merawat kelenjar prostat dan bukan masalah kesuburan,” kata beliau.


Di samping itu, penghidap BPH juga cenderung mengalami kerosakan pundi kencing, penyakit batu karang dan masalah buah pinggang.



“Bila pesakit mengalami masalah untuk buang air kecil, pesakit akan lebih meneran bagi mengeluarkan air kencing. Ia akan memberi tekanan terhadap pundi kencing dan mengakibatkan ia rosak, seterusnya membawa ke masalah buah pinggang. Apabila pundi kencing rosak, rawatan untuk memperbetulkan saluran kencing juga tak dapat membantu,” jelas Dr Balan.


Sementara itu, penyakit batu karang boleh berlaku kepada penghidap BPH disebabkan kencing yang terdapat di dalam pundi kencing tidak boleh dikeluarkan sepenuhnya dan masih ada air kencing yang bertakung.


Air kencing yang bertakung adalah air kencing yang sudah lama berada di dalam pundi kencing. Lama-kelamaan, ia akan menjadi lebih pekat dan membentuk kristal yang mengakibatkan batu karang.


Kencing yang berada di dalam pundi kencing untuk jangka masa yang lama turut menyebabkan masalah kencing berbau dan jangkitan kuman. Kuman ini akan membawa kepada penyakit urosepsis yang berisiko menyebabkan kematian.


“Walaupun pesakit urosepsis berjaya sembuh selepas mendapatkan rawatan, kerosakan yang telah terjadi pada pundi kencing, buah pinggang serta organ-organ lain berkemungkinan tidak mampu pulih 100 peratus. Pesakit mungkin perlu menjalani dialisis,” kata Dr Balan.


Rawatan BPH


Ujar Dr Balan, BPH boleh dikategorikan sebagai penyakit kronik yang akan dihidapi para lelaki, berdasarkan cara rawatannya.


Rawatan akan dimulakan dengan menunggu untuk berjaga-jaga. Sekiranya pesakit tidak berupaya ataupun rasa susah menahan gejala-gejala BPH, ubat telan akan dibagikan terlebih dahulu.


Biasanya, ubat tersebut hanya efektif dalam tempoh 24 jam sahaja. Selepas 24 jam mengambil ubat berkenaan, pesakit mungkin boleh membuang air kecil dengan lancar.



Namun setelah kesan ubat tersebut hilang, masalah yang mereka hadapi akan kembali. Begitu juga dengan ubat tekanan darah yang perlu diambil setiap hari.


“Seperti yang saya terangkan di awal tadi, ubat ini perlu diambil setiap hari. Tetapi ia hanya untuk kawalan sahaja, bukan untuk menghilangkan masalah BPH. Masalah tersebut akan terus ada disebabkan hormon pada lelaki,” terang beliau.


Untuk rawatan prostat, terdapat beberapa jenis ubat yang digunakan untuk mengendurkan saluran kencing dan dua lagi ubat-ubatan lain mengecutkan kelenjar prostat.


Ubat-ubatan mengecutkan kelenjar prostat akan diberikan sekiranya ubat bagi mengendurkan saluran kencing tidak berkesan kepada pesakit.


Jika ubat-ubatan masih tidak berkesan, doktor atau pakar perubatan akan berbincang dengan pesakit untuk prosedur pembedahan, diikuti ujian-ujian tertentu.


Sementara itu, rawatan terbaharu yang turut ditawarkan kepada pesakit BPH adalah prosedur Terapi Wap Air (Rezūm).



Ia adalah prosedur singkat atau dinamakan sebagai rawatan invasif minimal untuk pembengkakan prostat yang bukan kanser, di mana satu alat khas akan dimasukkan melalui saluran kencing pesakit dan wap air dilepaskan ke seluruh tisu prostat yang disasar.


Proses ini menyebabkan kematian sel, lalu penyembuhan badan semula jadi akan menyingkirkan sel-sel yang mati, supaya saiz prostat dikecilkan.


Penyembuhan untuk setiap pesakit adalah berlainan. Secara umum, pesakit berkemungkinan mendapat manfaat maksimum dan kelegaan simptom dalam jangka masa tiga bulan.


Rawatan Terapi Wap Air hanya sesuai untuk pesakit BPH tertentu, bergantung pada saiz prostat dan keputusan pakar urologi. Anda boleh berunding dengan pakar urologi anda untuk maklumat lanjut tentang prosedur ini.


Manakala jika ubat-ubatan tidak berkesan atau pesakit mempunyai saiz kelenjar prostat yang terlalu besar, doktor atau pakar akan beralih kepada pilihan terakhir iaitu pembedahan untuk membuang kelenjar prostat.


Namun pilihan ini bukan untuk semua pesakit. Menurut Dr Balan, 80 hingga 85 peratus pesakit boleh dirawat dengan pengambilan ubat-ubatan.



Credit to: https://siakapkeli.my/2022/03/05/semua-lelaki-akan-dapat-doktor-terangkan-apa-itu-masalah-prostat-bengkak-yang-lelaki-patut-tahu/?_ga=2.233497048.774588528.1646627977-1013756469.1644813206


Credit to: https://www.pantai.com.my/kuala-lumpur/doctor/urology/dr-balan-ambikai-balan-sothinathan

6 views0 comments

Recent Posts

See All

Most prostate cancers are first found as a result of screening. (See Screening Tests for Prostate Cancer.) Early prostate cancers usually don’t cause symptoms, but more advanced cancers are sometimes

Cancer affects 1 in 3 people in the United States. Chances are that you or someone you know has been affected by cancer. Here is some information to help you better understand what cancer is. You are